Dunia Zac Di Puncak


Daripada AHMAD NAZRI MOHAMAD di Los Angeles
ahmadnazri@hmetro.com.my

Rap

“PERGI ke Malaysia? Err῅ saya belum beli tiket (berseloroh). Saya ingin ke sana, mungkin akan datang,” kata Zac Efron, hero High School Musical 3: Senior Years yang akan ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 24 Oktober ini.

Zac atau nama kelahirannya, Zachary David Alexander Efron berkata demikian pada sidang media di Hotel Four Seasons, Los Angeles yang turut dihadiri wakil Selebriti Metro Ahad, baru-baru ini.

Sayangnya, Zac yang lebih dikenali sebagai Troy di kalangan peminat tanah air (sempena wataknya dalam High School Musical) mungkin singgah di sini tahun depan secara sembunyi-sembunyi.

Jadi belum tentu peminatnya, terutama remaja hingga kanak-kanak sekecil lima tahun, berpeluang menatap pelakon kacak, pandai menari dan mempunyai suara mengasyikkan ini.

Zac melahirkan hasratnya untuk mengelilingi dunia tahun depan, namun malang buat peminatnya, perjalanan itu dikategorikan beliau sebagai ‘under the radar and low key’ (secara senyap-senyap).

Namun dengan popularitinya yang memuncak, bagaikan mustahil untuk Zac mengembara mengelilingi dunia tanpa dikerumuni peminatnya, namun Zac positif, ’semuanya berkemungkinan’.

Kehidupan Zac sejak menjadi bintang, kegilaan remaja dan hero kanak-kanak di seluruh dunia, sudah jauh berubah, namun menyatakan dia sentiasa menjalani hidupnya mengikut caranya sendiri.

“Kita memang tidak dapat mengawal paparazzi. Namun ada yang sanggup bersembunyi dalam timbunan sampah atau dalam tempat buangan untuk mengintip,” katanya apabila mengulas ‘kerja gila’ dilakukan paparazzi yang mengawasi setiap tingkah lakunya.

Menyentuh lagu kegemarannya dalam High School Musical 3, Zac berkata, dia sukakan Now or Never kerana ia satu inovasi sebab sebelum ini tidak pernah ada lagu diadun bersama perlawanan bola keranjang.

Zac berkata, jersi nombor 14 yang dipakai sejak High School Musical pertama juga sebati dengannya. Malah, nombor itu dipakainya ketika bermain bola keranjang selama empat tahun.

“Saya tidak pernah minta (dalam filem), tetapi sentiasa mendapatnya,” katanya yang tampak senang dengan nombor keramat itu.

Secara keseluruhannya, Zac yang menyambut ulang tahun ke-21 semalam (18 Oktober) menyifatkan High School Musical sebenarnya hanya satu latar pentas.

“Saya fikir banyak lagi yang berlaku dalam High School Musical supaya semua kanak-kanak di dunia membesar dan menjadi seorang yang tabah, itu yang kami nyanyikan dan itu yang kami mahu kanak-kanak menerimanya.

“Saya sendiri tidak sukakan dunia persekolahan, apa yang kami persembahkan adalah cerita dongeng,” kata pelakon yang meminati John Travolta ini.

Sedikit mengenai latar belakang lelaki yang dilahirkan di San Luis Obispo, California ini. Namun dia dibesarkan di Arroyo Grande dan kemudian menamatkan akademiknya di Arroyo Grande High School pada 2006.

Zac ditawarkan menyambung pengajian ke University of Southern California, tetapi ‘ditangguhkannya’ kerana minatnya terhadap dunia seni.

Zac yang hangat berpacaran dengan pasangannya dalam High School Musical, Vanessa Anne Hudgens mula melangkah ke gelanggang lakonan ketika berusia 11 tahun apabila ibu bapanya menyedari bakat nyanyiannya.

Kelas nyanyian akhirnya membawa Zac ke produksi Gypsy yang mengadakan 90 persembahan.

Selepas muncul di pentas Peter Pan, Auntie Mame, Little Shop of Horrors dan The Music Man, bakatnya pantas ditangkap untuk dilebarkan ke siri TV, termasuk Firefly (2002), ER (1994) dan The Guardian (2001).

Zac pernah ditawarkan oleh pengkritik American Idol, Simon Cowell untuk merakam suara ke album tetapi dia menolak atas alasan keutamaannya pada lakonan.

Bagaimanapun, selepas menjayakan filem muzikal, suaranya juga dirakam di dalam album runut bunyi, termasuk Hairspray Soundtrack (2007), High School Musical 2: The Soundtrack (2007) dan High School Musical 3: Senior Year Soundtrack (2008).

Pada tahun ini juga, selain meraih populariti berganda, remaja ini disenaraikan di dalam Forbes Celebrity 100 2008 dan ada di tangga ke-92 dengan anggaran pendapatan AS$5.8 juta (RM20.4 juta) dari Jun 2007 hingga Jun 2008.

Harian Metro

Comments are closed.