Archive for May, 2008
Indy Selepas 19 Tahun
Susunan JESSABELL SOO
Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull

SELEPAS empat dekad menceburkan diri menerusi filem sulung lakonannya, Dead Heat on a Merry-Go-Round pada tahun 1966, dan selepas tiga dekad menerajui peranan utama dalam pelbagai filem, Harrison Ford kini boleh dibandingkan dengan pelakon hebat lain yang pernah wujud dalam industri perfileman Hollywood.
Pada usia 65 tahun, Ford merupakan legasi kepada beberapa buah filem mega blockbuster yang pernah dibikin termasuk siri Indiana Jones dan Star Wars.
Kali terakhir menyaksikan Ford sebagai ahli arkeologi kegemaran ramai, Indiana Jones ini ialah 19 tahun lalu. Dalam babak itu, dia sedang menunggang kuda apabila menemui Holy Grail.
Kelihatan seperti penghujung kepada keseluruhan pengembaraan yang bermula dengan Raiders of the Lost Ark (1981), pengarahnya, Steven Spielberg, 61, dan penulis lakon layarnya, George Lucas, 63, kemudian muncul dengan idea baru menghasilkan siri keempat ini pada awal pagi 18 Jun 2007.
Gandingan Lucas dan Spielberg tidak kira secara solo atau bersama telah berjaya membikin 13 filem paling laris sepanjang masa.
Namun, mereka masih mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan siri keempat Indiana Jones yang dikenali dengan judul, Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull.
Penggambaran dijalankan selama 79 hari di New Mexico, New Haven, California, Hawaii dan sebahagian besarnya di studio Downey, Los Angeles.
Berlatar belakang tahun 1957, kali ini Indiana Jones berdepan dengan ejen Spalko, dalang di sebalik perang dingin (Cold War) di Rusia, yang di lakonkan oleh aktres British ternama, Cate Blanchett.
Membuat kemunculan semula semula kali ini adalah heroin siri pertama filem Indiana Jones, Karen Allen menerusi watak Marion Ravenwood.
Naskhah baru ini turut dibintangi aktor yang sedang meningkat naik, Shia LaBeouf, sebagai anak kepada Indiana dan Marion.
Ford baru-baru ini bercerita dengan wartawan antarabangsa mengenai perasaannya muncul kembali menerusi siri filem Indiana Jones, serta proses rakaman dan pengalaman yang dilalui dalam filem yang bakal dialih suara kepada 25 bahasa berlainan ini.
Anda baru sahaja menghabiskan rakaman sekuel keempat Indiana Jones. Apakah perasaan apabila berada dalam produksi ini sekali lagi?
FORD: Selepas 20 tahun, kostum Indiana Jones masih boleh dipakai. Dan penjiwaan watak datang terus apabila saya memakai kostumnya. Saya kini berasa yakin dan jelas dengan wataknya.
Rasanya sedikit sebanyak jiwa Indiana Jones masih berada dalam jaket kulit, cemati dan topinya. Tetapi saya tidak pasti sama ada kostum itu semua adalah yang asal daripada filem pertama.

MAMPUKAHIndiana Jones 2008 ini membangkitkan keterujaan seperti kemunculannya selama ini?
Apa yang tidak boleh dilakukan pada usia 65 tahun dan boleh dilakukan semasa berusia 45 tahun?
Makan dengan banyak! Sebenarnya saya berjaya melakukan perkara yang boleh dilakukan sebelum ini dan mungkin lebih kerana kecanggihan teknologi dan juga aspek keselamatan semasa melakukan aksi. Namun, usia bukan faktor penghalang.
Apa yang membuatkan Indiana Jones begitu hebat dan dikenali ramai?
Mungkin disebabkan cerita mengenai tempat yang dia pergi dan pengembaraan luar biasa yang dilaluinya.
Terdapat elemen yang unik dengan kombinasi elemen fizikal, sains fiksyen serta objek keagamaan yang membuatkan filem ini diminati.
Audiens suka benda-benda yang menggelikan, saat-saat mencemaskan serta unsur baik melawan pihak jahat.
Saya suka membiarkan penonton menyaksikan ketakutan Indiana.
Saya mahu audiens melihat bagaimana dia menyelesaikan masalah walaupun hakikatnya Indiana akan berjaya di penghujung cerita. Itulah keistimewaan Indiana.
Dalam Raiders Of The Lost Ark, anda dipukul, ditembak dan ditarik oleh trak dan berada pada enjin kapal terbang. Banyak aksi melampau ini dilakukan oleh anda sendiri. Namun, anda tidak banyak cedera kali ini.
Dalam filem pertama, kaki kiri saya cedera. Namun, saya selalunya sudah bersedia dari segi fizikal. Saya tahu genre filem yang saya lakonkan. Dalam siri kedua pula, saya mengalami kecederaan tulang belakang yang teruk sehingga perlu menjalani pembedahan di pertengahan penggambaran.
Untuk filem ketiga saya tidak mengingati sebarang kecederaan. Saya bernasib baik kali ini kerana tahap keselamatan dilakukan dengan baik.
Rasanya anda adalah antara pelakon yang paling rapat dengan Lucas dan Spielberg. Perasaan anda terhadap kerja mereka?
Mereka berdua sangat hebat sebagai pengarah. Mereka mempunyai kuasa dan skil untuk berkomunikasi dengan idea, tidak seperti pengarah lain.
Rasanya mereka mempunyai empati dan memahami bagaimana manusia dan dunia ini berfungsi.
Mereka juga mengenali budaya yang berjaya membawa audiens ke dalam proses pembikinan filem.
Dua lelaki ini memang hebat dalam berimaginasi. Kini mereka kembali lebih matang dan adalah menyeronokkan untuk bekerja bersama mereka sekali lagi.

LEGASI Indiana Jones.Harrison Ford (tengah) diapitkaryawan filem tersohor Hollywood, Steven Spielberg (kanan) dan George Lucas.
Banyak yang telah berubah dalam industri perfileman sejak filem terakhir Indiana Jones. Dengan kewujudan pelbagai hero dalam filem, bolehkah lagi Indiana Jones bertanding dari segi populariti?
Mereka memilih untuk tidak memperbaiki francais semata-mata untuk menyeimbang stail terkini.
Lucas dan Spielberg mengambil keputusan untuk kekal dengan konsep seperti filem pertamanya termasuk stail, ton dan latar belakang cerita.
Lagak aksi tradisional juga dikekalkan dan penggunaan kesan khas CGI hanya bila diperlukan sahaja.
Adakah anda mengingati bila kali pertama anda menghadiri uji bakat untuk watak Indiana Jones?

FORD bersama (dari kiri) pelakon Karen Allen, Shia LaBeouf dan Cate Blanchett.
Sebenarnya watak Indiana Jones dicipta khusus buat aktor Tom Selleck, tetapi disebabkan dia terikat dengan satu kontrak program TV, jadi saya yang bernasib baik terpilih menggantikannya.
Selepas saya menerima panggilan daripada Lucas yang menyuruh saya membaca skrip dan kemudiannya bertemu dengan Spielberg secara peribadi, saya menyukai skripnya dan pertemuan itu berjalan lancar.
Apa yang seterusnya berlaku ialah saya sudah pun muncul dalam siri pertama filem Indiana Jones.
Sebelum ini ada laporan yang menyatakan nama Indiana Jones sepatutnya Indiana Smith.
Saya tidak pernah nampak watak bernama Indiana Smith. Saya tidak pasti dari mana Lucas mendapat nama akhirnya. Saya hanya tahu Indiana adalah nama anjingnya pada masa itu.
Kenapa agaknya Spielberg suka meletakkan haiwan seperti ular dan tikus sebagai aksesori dalam filem-filem Indiana Jones?
Mereka sukakan cara bagaimana audiens meliuk-lentukkan badan di atas kerusi mereka. Ia pastinya salah satu elemen yang boleh dijangkakan dalam cerita ini. Walaupun menggelikan tetapi saya tidak kisah.

Tetapi terdapat ular semasa penggambaran.
Memang banyak ular tetapi saya tidak takut ular. Itu semua cuma lakonan. Namun, mereka ada meletakkan jaring untuk mengelakkan serangan ular tedung.
Sebagai pelakon anda pastinya pernah berdepan dengan pelbagai budaya asing. Lokasi mana yang meninggalkan kesan paling mendalam?
Saya sukakan Sri Lanka. Itu satu tempat yang menakjubkan. Venice juga indah semasa kami menjalani penggambaran untuk sekuel ketiga Indiana Jones.
Namun, saya sukakan budaya Sri Lanka. Saya berpeluang mencuba makanan di sana dan menaiki gajah serta beberapa perkara ganjil yang tidak pernah dilakukan.
Perasaan kembali bergandingan semula dengan Karen Allen?
Karen terlibat dalam filem pertama dan kini hubungan kami berputik semula. Seronok untuk berganding semula dengannya.
Anda banyak memberi tunjuk ajar kepada Shia LaBeouf?
Dia tidak perlukan pertolongan. Dia mula berlakon sejak berusia tujuh tahun dan dia tahu selok-belok mengenai filem seperti apa yang saya ketahui. Dia tidak memerlukan perlindungan saya.
Ketiga-tiga sekuel Indiana Jones berjaya mengutip keuntungan AS$3 billion (RM9.7 bilion). Adakah duit adalah faktor utama untuk segala-galanya?
Duit adalah penting hanya jika anda tidak mempunyainya.
Justeru anda sebenarnya tidak perlu bekerja lagi. Jadi apa yang menarik perhatian anda untuk terus berlakon?
Saya bukan jenis orang yang boleh menghabiskan masa untuk aktiviti rekreasi.
Saya perlukan cabaran untuk stimulasi kebijaksanaan otak. Saya suka memberi idea dalam kehidupan dan ia satu kerja yang hebat.
Kosmo
Kristin Akui Ketagih Alkohol

KRISTIN pernah melalui era hitam kerana merasakan dirinya terasing dan terpinggir.
PELAKON siri TV popularSex And the City, Kristin Davis sebelum ini pernah mempercayai bahawa dia akan mati sebelum sempat menyambut hari kelahirannya yang ke-30 akibat ketagihan alkohol yang melampau.
Davis mendedahkan ketagihan alkohol yang dialaminya merupakan tabiat yang diwarisi menerusi ahli keluarganya.
Dia juga berasa takut ketagihan itu yang bermula sejak zaman remajanya akan membawa kemusnahan pada hidupnya.
“Saya betul-betul tidak yakin saya akan berjaya mencapai usia 30. Saya banyak minum arak semasa remaja dan percaya dengan nasib,” katanya yang kini sudah berusia 43 tahun.
Davis yang menjayakan watak Charlotte York dalam Sex And the City yang kini muncul menerusi versi filem di layar perak mengaku ketagihan yang dialaminya itu menjadi lebih teruk kerana dia tidak selesa dengan sekelilingnya.
“Saya merasakan diri saya seperti tidak sesuai dengan keadaan sekeliling. Semasa saya remaja dulu, semua orang memiliki rambut perang. Saya pula mempunyai rambut merah. Jadi saya rasa terpinggir,” beritahunya yang berpindah ke Selatan Carolina ketika zaman remajanya dulu.
Davis bagaimanapun meninggalkan tabiat buruk itu pada usia 22 tahun selepas memasuki pusat pemulihan.
Ketika itu dia bersumpah untuk berjauhan daripada alkohol untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia lakonan.
“Selepas berjaya menyertai program lakonan, saya mendapati ia amat mencabar. Namun, saya selalu mabuk dan tidak dapat fokus. Jadi saya terpaksa membuat pilihan antara alkohol atau lakonan. Memang saya merinduinya (alkohol),” katanya kepada majalah Marie Claire.
Kosmo
Ceria Dengan Watak Kartun
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
Kanak-kanak begitu teruja menyaksikan persembahan Kung Fu Panda bersama rakan-rakannya yang beraksi di pentas utama, pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

PELBAGAI permainan interaktif menanti anda.
BULAN ini mungkin menjadi masa yang paling sesuai untuk membawa anak-anak anda bersiar atau melawat ke tempat-tempat baru.
Ini kerana cuti sekolah sedang berlangsung dan bolehlah dimanfaatkan agar anak-anak tidak tertekan atau berasa jemu kerana berada di rumah sepanjang masa.
Apa yang kanak-kanak mahukan sewaktu musim cuti sekolah tidak banyak bezanya dengan apa yang kita mahukan. Mereka ingin bersama keluarga dan teman-teman sambil berehat, menyertai aktiviti mainan menarik dan membina hubungan dengan alam semula jadi.
Sehubungan itu, bertepatan dengan musim cuti persekolahan kali ini, pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur turut mengambil inisiatif mempromosikan pelbagai aktiviti dan acara menarik kepada para pengunjungnya, sehingga 3 Jun ini.

NIKMATI pelbagai cita rasa kek dengan tawaran harga yang berpatutan.
Bertemakan Blockbuster Fun, para pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan replika kartun pilihan mereka dengan lebih dekat, malah dapat menonton watak kartun kegemaran menerusi tayangan filem yang dipaparkan menerusi skrin televisyen.
Antara filem kartun yang ditayangkan ialah Kung Fu Panda, Iron Man, Speed Racer, Indiana Jones dan Transformers.
Sebanyak 20 jenama barangan mainan termasuk makanan dan gerai aksesori hiasan diri kanak-kanak turut dipasarkan dengan tawaran harga yang berpatutan.
Paling mengujakan ialah para pengunjung berpeluang melihat dekorasi kartun gergasi setinggi 15 kaki dengan hiasan warna-warna ceria di setiap sudut gerai.
Hasil kerja tangan menggunakan kotak barangan terbuang sehingga terciptanya kartun beruang, gorila, panda dan arnab, nyata membangkitkan suasana ceria buat seluruh pengunjung yang hadir.
Setelah penat mengunjungi setiap gerai yang terdapat di sepanjang ruang legar Center Court, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak bermain permainan interaktif di gerai susu Dutch Lady.
Saat bermain permainan yang mencabar minda sememangnya dapat meningkatkan daya kognitif dan kemahiran kerja tangan anak-anak anda.

DEKORASI kotak gergasi pelbagai bentuk dan berwarna-warni.
Dengan tema Have a Kicking Great Time, kanak-kanak turut diketengahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti mengambil pau menggunakan penyepit makanan dan menyertai peraduan tiru gaya kung fu.
Keriangan mereka tidak akan terhenti apabila pentas utama pusat beli-belah itu dikejutkan dengan gegaran maskot kung fu panda bersama rakan-rakannya.
Menari hip hop sambil mempamerkan aksi kung fu, antara persembahan menarik yang dapat dilakukan panda kepada para penonton.
Kehadiran anda bersama anak-anak akan dimeriahkan lagi dengan permainan berasaskan teknologi gajet seperti Playstation, Nintendo Wii dan Xbox 360 Elite, bertempat di ruang legar, North Court.
Bagi mereka yang gemar membaca dan mencipta seni kreativiti tersendiri, pihak MPH Bookstore dan MegaKidz turut mengambil kesempatan mengenengahkan pelbagai aktiviti berteraskan ilmu pendidikan.
Antaranya ialah sesi bercerita, sudut membaca, seni pasir dan lukisan cat air.
Kehadiran kanak-kanak bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai acara dan aktiviti menarik, malah turut diberi cenderahati untuk dibawa pulang.

PERSEMBAHAN Kung Fu Panda bersama rakan-rakannya.
Seramai 100 pengunjung kanak-kanak yang terawal akan menerima hadiah berupa coklat, belon, kek cawan dan barangan mainan tajaan ToyCity daripada badut.
Menurut Tan Wen Zse, 32, promosi musim cuti sekolah yang diadakan ini memberi peluang kepada ibu bapa mendekatkan diri dengan anak-anak mereka.
“Dengan pelaksanaan program ini, ia bukan sahaja mendedahkan pelbagai aktiviti permainan menarik, malah dapat mendidik anak-anak kepada kehidupan dunia luar yang sebenar.

KETENGAHKAN kreativiti anak anda di ruangan seni pasir.
“Menonton filem kartun animasi secara langsung sambil menghayati watak yang dipegang, sememangnya dapat mengasah daya pemikiran kanak-kanak kecil.
“Selain mempelajari tentang kehidupan alam fantasi, kanak-kanak juga dapat berfikir tentang sesuatu perkara dengan bijak,” jelasnya kepada Kosmo!.
Kosmo