Archive for February, 2008

Bukan Sekadar Makhluk Asing


Tajuk filem: CJ7
Pengarah: Stephen Chow
Skrip: Stephen Chow
Genre: Komedi, Sains-fiksyen
Klasifikasi: Umum [U]
Pelakon: Xu Jiao, Stephen Chow, Kitty Zhang, Lee Sheung Ching, Fun Min Hun, Juang Lei, Lam Tze Chung, Yao Wen Xue
Tayangan Umum: Mulai 7 Februari 2008

Sekali Imbas

Filem kanak-kanak dan seisi keluarga, penuh dengan unsur pengajaran dan emosi selain elemen komedi sebagai kekuatan. Ini bukanlah filem berteknologi tinggi sepenuhnya, namun difokuskan kepada pergerakan binatang unik bernama CJ7 dan kapal angkasa UFO.

Ulasan Penuh

Ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini, pengarah dan pelakon utama CJ7, Stephan Chow ada berkata, filemnya kali ini ada kelainan kerana banyak memasukkan unsur emosi berbanding aksi kung fu sebagaimana filem-filem terdahulu.


Pengarah berpengaruh dari Hong Kong itu juga berberkata, pada masa akan datang, kebanyakkan filem-filemnya tidak akan lagi sarat bermain dengan aksi kung fu, sebaliknya menggabungkan elemen emosi dan pertarungan dalam sebuah filem.

CJ7 menjawab segala keinginannya itu, apabila ia berjaya memberi kesan ke dalam jiwa penonton, meskipun mungkin ada yang beranggapan mesej yang ingin disampaikan pengarah ini agak ringan.

Malah, ketika menontonnya sendiri di panggung, ada sebahagian kanak-kanak yang menangis ketika babak karektor haiwan dari angkasa lepas, CJ7, diperlakukan dengan teruk oleh kanak-kanak kaki buli di sekolah.

Nak diikutkan, ceritanya cuma berkaitan seorang ayah yang bekerja sebagai buruh kasar bersama anaknya. Ibarat kais pagi makan pagi, si bapa bersusah payah membesarkan anaknya agar menjadi orang yang berguna apabila besar nanti. Itu saja.

Tapi lebih dalam daripada itu, CJ7 mengupas bagaimana kesusahan si ayah mencari rezeki, terpaksa menebalkan muka dengan majikannya untuk membeli kipas angin, mengutip barang terbuang dari tempat buangan sampah dan hidup daif di sebuah rumah yang belum siap.

Namun, satu hari, kehadiran sejenis haiwan dari angkasa lepas, mirip anjing mengubah kehidupan dua beranak itu. Awalnya, haiwan itu disangka si anak mempunyai kuasa luar biasa yang boleh mengubah sikapnya dari seorang yamg malas belajar kepada cemerlang dalam ujian.

CJ7 tidak punyai kelebihan itu sebagaimana haiwan animasi lain contohnya Doraemon. Sebaliknya kasih sayang ditunjukkan oleh haiwan itu merubah persepsi si anak untuk terus gembira, ceria dan berkerja keras dalam mencapai apa yang dihajati.

Walaupun begitu, pujian wajar diberikan kepada pelakon kanak-kanak Xu Jiao yang berjaya mencuit hati penonton dengan gelagat bersahajanya. Satu rahsia yang harus diketahui, kanak-kanak ini sebenarnya seorang budak perempuan dan bukanlah lelaki seperti di dalam filem CJ7!

Meskipun tidak banyak gerak kung fu dipamerkan dalam filem ini, namun begitu Stephen Chow masih menerapkannya pada beberapa bahagian contohnya pada pergerakan anjing CJ7.

Begitu juga dengan babak mimpi si anak yang begitu taksub dengan kasut dan cermin mata ajaib yang diberikan CJ7. Biarpun tampak ringkas, ia terselit seni pergerakan kung fu yang sudah menjadi identiti Stephen sejak dulu lagi.

Kesan khas dalam filem ini? Ia tidaklah begitu kaku atau nampak macam kartun. Sekadar biasa-biasa saja.

Sinopsis

CJ7 yang menelan belanja besar iaitu lebih AS$20 juta, mengisahkan kehidupan seorang buruh kasar bersama anaknya yang dipertemukan dengan haiwan makhluk asing dikenali sebagai CJ7. Kehadiran CJ7 bagaimanapun, mengubah kehidupan mereka anak beranak, akan kepentingan hidup berkeluarga tanpa memikirkan wang.

Sila Klik Di Sini Untuk Menonton Trailer CJ7

Murai

Fantasi Mengacau Emosi


Oleh JESSABELL SOO

MEMULAKAN eksperimen efek khas dengan filem Shaolin Soccer pada tahun 2001, penggunaan CGI diperhebatkan lagi dalam karya Kung Fu Hustle yang menyusul pada tahun 2004.

Mengenalpasti kedua-dua karya itu berjaya mengekalkan peminat setianya serta mengumpul penonton baru, Stephen Chow menggunakan ilmunya (CGI) itu sekali lagi untuk membikin karya sains fiksyen komedi terbarunya, CJ7.

Menggunakan makhluk asing comel (seperti anjing yang dinamakan CJ7) sebagai tunjang utama, filem yang dikatakan menelan bajet AS$20 juta (RM66 juta) ini bagaimanapun tidak begitu menonjolkan Stephen (yang selalunya menjadi aktor utama dalam sesebuah filem).

Maka, tidak hairanlah jika ramai penonton yang merasakan babak dan watak Stephen terlalu kurang. Mungkin mereka merindui Stephen yang sudah lama tidak berlakon.

Mengambil langkah drastik dengan melangkah keluar daripada idealistik komedi tidak berakal atau merapu, Stephen bagaimanapun masih mengekalkan intipati komedi tetapi hanya dalam skripnya sahaja.

Turut mengurangkan aksi keterlaluan, apa yang menarik dan perlu diberi perhatian adalah kombinasi elemen sedih, gembira dan fantasi dalam filem ini.

Jangan terkejut jika ada penonton yang memberitahu anda bahawa dia menangis selepas menyaksikan filem ini. Mungkin sebelum ini ada penonton yang mengalirkan air mata semasa menonton filem Stephen tetapi itu pastinya akibat gelak ketawa.

Dalam CJ7, audiens akan tersentuh dengan lakonan anak lelaki Stephen (yang dijayakan oleh budak perempuan bernama Xu Jiao).

Stephen yang merupakan ayah tunggal tinggal bersama anaknya dalam sebuah rumah yang separa dirobohkan. Bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan, Stephen menjadi lebih miskin kerana dia menghantar anaknya ke sekolah swasta mahal.

Dalam kedaifan hidup yang melanda dirinya, dia juga terpaksa menanggung hutang dengan majikannya (kontraktor yang dijayakan oleh Lam Chi Chung) yang dipinjamkan olehnya untuk menguruskan kematian isterinya.

Mengambil semua peralatan dan baju dari longgokan sampah, Stephen tidak mampu membeli barang permainan kepada anaknya. Suatu hari, Stephen telah mengutip satu permainan yang merupakan makhluk asing (CJ7) dan membawanya pulang untuk anaknya.

Jalan ceritanya senang tetapi berbaur pelbagai mesej. Daripada hasil kerja kali ini, sungguh jelas Stephen bukan pengarah, pelakon dan penulis yang lebih pentingkan penghasilan filem setiap tahun untuk tujuan keuntungan.

Apa yang diutamakan adalah kualiti. Setiap benda yang dipertontonkan dipilih dengan terperinci. Daripada pemilihan aktor kanak-kanak (hampir 80 peratus filem ini didominasi oleh kanak-kanak), penata cahaya, muzik serta lokasi (Ningbo, daerah Zhejiang, China), semua diteliti oleh Stephen yang memulakan produksi ini pada Julai 2006.

Kosmo

Jay Tertekan Kerana Stephen

Oleh JESSABELL SOO


JAY Chou akui tertekan apabila sering dibandingkan dengan Stephen Chow.

LEWAT satu jam daripada jadual yang ditetapkan, para media tetap setia dan sabar menunggu kehadiran Jay Chou. Maklumlah, bukan selalu aktor muda dan kacak ini mengunjungi Malaysia dan kali ini dia hadir atas tujuan mempromosikan filem terbarunya, Kung Fu Dunk.

Ini bukan filem pertama Jay. Namun, disebabkan Jay tidak hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan filemnya sebelum ini (The Curse of the Golden Flower dan Secret), maka sidang media pada petang Sabtu lalu menjadi huru-hara sejurus sahaja Jay menjejak kaki ke dalam bilik.

Dalam bilik yang sesak dengan pentas yang kecil, hampir separuh daripada bilik sidang media dipenuhi oleh jurugambar. Apa yang lebih menggerunkan apabila kesemua jurugambar tidak mahu berundur dan menyebabkan pengacara majlis terpaksa ‘menjerit’ dan meminta mereka kembali ke tempat masing-masing.

Situasi kelam-kabut itu berterusan selama hampir 5 minit dan selepas semua drama itu, Jay serta pengarah, Kevin Chu dan seorang lagi pelakon Kung Fu Dunk, Baron Chen meninggalkan sidang media tidak sampai 30 minit kemudian.

KOSMO! bagaimanapun bernasib baik diberikan peluang untuk menemu bual Jay, Baron dan Kevin selepas itu untuk mengetahui pengalaman, proses dan sedikit sebanyak mengenai sambutan Tahun Baru Cina ini.

Ikuti temu bual mengenai Kung Fu Dunk yang turut menampilkan lakonan Charlene Choi dan Eric Tsang yang sudah ditayangkan bermula 7 Februari ini serentak dengan 2,800 pawagam di 11 buah negara.

Mengapa memilih untuk menggunakan kombinasi kung fu dan bola keranjang?

KEVIN: Kung fu sudah sinonim dengan masyarakat Cina dan saya sendiri menyukai bola keranjang. Saya telah mencari 15 pemain bola profesional untuk filem ini bagi membantu pelakon kerana hanya Jay sahaja yang mempunyai sedikit asas bermain bola keranjang.

Antara kung fu dan bola keranjang, mana lebih sukar untuk dilakonkan?

JAY: Saya sendiri mempunyai asas bermain bola keranjang. Jadi kung fu adalah lebih sukar kerana saya tidak mempunyai asas. Namun, saya tidak boleh dibandingkan dengan Jet Li mahupun Jackie Chan kerana kung fu yang dipertontonkan oleh mereka adalah asli. Maka untuk mendapatkan kelainan, kung fu saya digabungkan dengan muzik ciptaan saya sendiri.

Bagaimana pula dengan babak bermain bola keranjang? Banyak aksi-aksi yang agak ‘keterlaluan’.

JAY: Bagi mempelbagaikan corak pergerakan, kami telah menonton banyak video pemain-pemain NBA. Daripada situ kami mereka pergerakan sendiri dengan gabungan kung fu.

Ceritakan sedikit mengenai watak anda.

JAY: Seorang remaja yang jujur dan naif serta ‘comel’. Dalam filem ini watak saya (Shi Jie) tidak menjaga imej. Ini adalah berlainan dengan realiti hidup kerana saya sendiri sudah terkenal dengan imej cool. Ibu saya yang menonton filem ini memberitahu bahawa Shi Jie adalah perwatakan saya semasa kecil.

Tidak takut peminat tidak boleh menerima imej itu?

Jay: Setakat ini saya menerima komen positif daripada mereka yang sudah menyaksikan filem ini. Mereka semua menyukai watak saya. Ada yang berharap saya boleh bertukar menjadi sebegitu terutamanya pekerja saya tetapi saya perlu ‘berperangai’ seperti bos. Ada kalanya saya juga suka ‘melepaskan’ imej penyanyi.


DARI kiri, Jay Chou, Kevin Chu dan Baron Chen semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adakah anda rasa lakonan anda boleh membuat orang ketawa?

JAY: Semasa menjalani rakaman, saya berasa takut kerana saya tahu saya tidak boleh berjenaka seperti Stephen Chow. Namun, kemudian saya berjaya mencari cara lain. Komedi saya bukan hanya datang dari diri saya tetapi digabungkan dengan pelakon lain seperti Eric Tsang. Dan saya juga bukan seperti Eric yang kelakar di dalam atau luar lokasi.

Banyak efek digunakan terutamanya semasa babak di gelanggang bola.

KEVIN: Baron merupakan pemain terbaik dalam filem tetapi realitinya dia adalah pemain paling teruk. Jadi dia telah menggunakan masa setengah tahun untuk berlatih. Jay juga kelihatan hebat dan bermain dengan penuh stail. Tetapi bolanya selalu tidak masuk jaring. Jadi banyak kesan khas yang digunakan.

Pertama kali berlakon, apakah perasaan anda apabila digandingkan dengan pelakon hebat seperti Jay, Charlene dan Eric?

BARON: Sangat bertuah kerana selalunya saya hanya melihat mereka menerusi kaca televisyen. Pada mulanya saya memang rasa tidak selesa. Banyak kesalahan yang saya lakukan terutamanya babak di gelanggang.

Bajet filem ini sebanyak RM32.2 juta adakah tidak mencukupi?

KEVIN: Ada terlebih sedikit. Disebabkan lokasi gelanggang berada agak terpencil, maka kos pelakon tambahan adalah tinggi. Setiap hari kami mempunyai pelajar dari 13 buah universiti datang bergilir-gilir. Kos makan dan pengangkutan mereka sebenarnya sangat banyak.

Jay ada memberi sebarang tunjuk ajar?

BARON: Memang sebagai orang baru, saya perlu lalui tekanan terutamanya apabila berhadapan dengan media (Taiwan). Dan Jay banyak membantu dalam perihal ini.

Sebelum ini anda tidak pernah bermain bola keranjang. Sukan yang diminati?

BARON: Menunggang kuda kerana saya menyukai kuda. Kini saya sedang bereksperimen mengenai golf. Maka untuk filem ini saya telah berlatih selama setengah tahun.

Bila anda akan bercuti untuk sambutan Tahun Baru Cina?

JAY: Selepas menjalankan promosi filem ini di Beijing, China, saya akan pulang ke Taiwan dan bercuti selama empat hari.

Impian tahun baru?

JAY: Saya ada menghantar lagu untuk Sukan Olimpik 2008. Rasanya susah untuk dipilih kerana ramai pemuzik lain yang hantar. Maka itulah impian saya untuk tahun ini.


TIDAK suka bercakap soal peribadi kepada media.

Sudah memberikan ang pau? Secara purata, berapa banyak ang pau yang diterima semasa kecil?

JAY: Di Taiwan, saya sudah habis memberikan ang pau dan tahun ini bajet saya meningkat lebih TWD100,000 (RM10,000). Dulu semasa kecil, saya hanya boleh membeli-belah selepas Tahun Baru Cina selepas mendapat ang pau yang puratanya antara TWD30,000 (RM3,000).

Selepas berkecimpung selama tujuh tahun dalam industri hiburan, apakah perubahan ketara diri anda?

JAY: Saya masih yakin terhadap muzik dan konsep saya. Masih suka berterus-terang tetapi lebih berani dan pandai bercakap depan media.

Sebagai artis, anda tidak boleh lari daripada gosip. Bagaimana anda menerima tekanan ini?

JAY: Gosip masih boleh diterima tetapi saya tidak menyukai apabila media bertanya soalan yang mereka tahu kenyataannya. Sebagai artis, kami perlu berhati-hati supaya tidak akan ‘diserang’ oleh media.

Contohnya, saya bukan tidak mahu memberitahu orang ramai mengenai teman wanita tetapi tidak mahu menyusahkan keluarga wanita itu. Lagipun saya lebih suka merendahkan diri.

Filem CJ7 lakonan Stephen Chow turut akan ditayangkan pada hari yang sama iaitu 7 Februari, di tahap manakah keyakinan anda dalam bersaing dengan filem itu?

JAY: Dia adalah senior dalam dunia lakonan dan kami berdua tidak boleh dibandingkan. Namun, saya akan berasa gembira jika kedua-dua filem ini laris di pasaran. Saya yakin dengan Kung Fu Dunk tetapi tertekan apabila selalu dibandingkan dengan Stephen. Apa pun saya tetap akan menonton CJ7 nanti.

Projek filem seterusnya selepas ini?

JAY: Saya ingin mencuba filem genre aksi kerana ia akan menggabungkan pelbagai emosi. Saya sentiasa bekerja kerana takut idea saya ‘dicuri’ orang. Saya tidak suka melakukan benda yang sama dengan orang lain.

Kosmo